Sejarah

Mengikut sejarah permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1895 di Gimnasium Y.M.C.A., Springfields, Massachusettes, Amerika Syarikat oleh Prof.William J. Morgan (1870-1942) sebagai suatu permainan rekreasi. Pada peringkat mula, bola keranjang dipukul dengan tangan supaya ia sentiasa di udara. Kemudian jaring diletakkan di tengah dan beberapa peraturan diwujudkan. Jaring ditinggikan kepada tujuh kaki namun bermain dengan bola keranjang telah menyebabkan tangan pemain menjadi sakit kerana menahan beratnya. Morgan seterusnya telah meminta pertolongan syarikat Spalding untuk mencipta bola baharu yang dihasilkan dengan menggunakan kulit anak lembu.

Populariti bola tampar bermula pada tahun 1900 apabila Kanada menjadi negara pertama menerimanya dan kemudiannya diperkenalkan ke India pada tahun yang sama. Sukan bola Tampar terus berkembang apabila ia diperkenalkan ke Cuba (1905), China (1906), Jepun (1908), Puerto Rico(1909) dan Filipina (1910) sebelum ianya diperkenalkan ke Eropah.

Pada tahun 1947, Federation Internasionale de Volleyball (FIVB), iaitu sebuah badan rasmi bola tampar dunia ditubuhkan dengan 14 ahli. Presiden pertama badan tersebut ialah Paul Libaud (Perancis) yang memegang jawatan selama 37 tahun.